14 October 2019

Puisi Jamilah Harun : Zikir Merdeka

ZIKIR MERDEKA

Oleh : Jamilah Harun

Di tanah ini kita alunkan zikir

zikir merdeka buat tatapan

pewaris bangsa

penerus legasi pendekar di

bumi tercinta

mengungkit seruan ratib

zaman yang bertandang.

 

Di sini lahirkan cinta kepada

negara

mengejut lena anak watan

yang leka

bangkit dari sebuah persada

luka lama

berdiri megah di pentas wira

bijaksana

bersama menebus maruah

bangsa yang terhina.

 

Tiupkan semangat waja ke

dada pencinta

serapkan seruan jaya kepada

kesatria muda

kita bangun dari alpa

perjuangan semalam.

 

Tanah ini merdeka dari satu

seruan

dari rasa keinsafan tentang

masa depan

tikanya tanah ini

menjadi milik pendatang

kita menjadi peribumi yang

hilang kekuasaan.

 

Lihatlah kemajuan, ilham dari

cendikia terbilang

tatkala landskap negara

dirangka para ilmuan

kita bina pagar keamanan

dari kekhilafan

pasakkan panji kerukunan

merentas lantai zaman

berselawat dalam zikir kasih

dialun merdeka

sehingga terpacak megah

jalur gemilang tercinta

serata dunia meniti namanya

negara jaya.

 

Bersama watannya yang

bijaksana dan perkasa

biarkan zikir merdeka ini

terus bergema

selamanya di tanah berdaulat

cinta terpana

menjadi azimat menyalut

sekujur jasad pewaris

merentas zaman yang bakal

merumahkan takhta

generasiku kau adalah

penentu arah negara

merdeka ini akan tetap kau

jaga.

Kemaman,Terengganu. 2015

______________________________________________________________________________

 

*) Jamilah Harun dilahirkan pada 14 Mei 1964 di Felda Chalok, Setiu, Terengganu. Kini menetap di Chukai, Kemaman,Terengganu. Pernah bekerja sebagai guru dan kini bekerja sendiri. Aktif berkarya di Facebook sejak tahun 2013 , menjadi ahli berdaftar Persatuan Penulis Malaysia Kopi Sastera IKOSAS sejak awal penubuhannya,ketika itu IKOSAS hanya mempunyai kurang lebih 300 ahli. Di sinilah beliau merangkak menghasilkan karya tanpa sebarang ilmu sehingga berjaya berada di tahap sekarang. Pertengahan tahun 2014 atas dorongan dua penulis mapan Terengganu Saudara Hilmi Rindu dan Tuan Sharif Tuan Putera, sahabat mukabuku saudara Yatim Ahmad dari New Sabah Times juga sahabat IKOSAS Tuan Ismail Hussain dan lain-lain mula menghantar karya kepada penerbit. Sajak pertama yang tersiar adalah Senandung Angin Malam II dalam New Sabah Times, diikuti dengan beberapa buah sajak dan pantun dalam Mingguan Wanita, Dewan Budaya, Berita Harian dan Antologi Lentera Zaman. Memenangi hadiah saguhati dalam Sayembara Menulis Puisi anjuran DBP Wilayah Timur sempena bulan bahasa 2014. Karyanya Lara Cuaca disiarkan dalam majalah Pelita Bahasa februari 2015 dan Bicara Kalbu dalam majalah Jendela Timur, keluaran DBPWT bilangan 44, April 2015. Terbaru, karyanya Zikir Merdeka yang dibawa oleh Muhammad Safwan wakil Universiti Awam telah menjadi Naib Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2015 pada 17 Oktober 2015. (W/Kf)

Category: 

 GULIRKAN KE BAWAH UNTUK MELIHAT ARTIKEL LAINNYA  


Berita lainnya

loading...